Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh. Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1% didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah 13.6 billion ringgit selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.
Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 billion ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 billion ringgit pada tahun 2009. Trend ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi. Ini mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2011.
Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia yang telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada 999 billion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trillion ringgit pada akhir Julai 2012. Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat 432.2 billion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.
Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam Negara Kasar nominal dijangka melepasi paras 1 trillion ringgit. Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus.
(UCAPAN BAJET 2013 OLEH YAB PM)